Thursday, October 13, 2016

DENDAM JULIEZAR


DIA sudah mampu tersenyum senang. Rancangannya kini hampir berjaya. Syarikat itu
 telah diteroka. Kenangan 20 tahun lalu kembali menggamit memorinya. Seorang anak kecil yang berjiwa murni sering menabur budi untuk hidupan laut. Cintanya pada laut sememangnya sudah dibentuk sejak kecil lagi oleh seorang tua berharta merangkap bapanya. Kehidupannya sehari-hari hanya tentang laut. Hingga tanpa sedar ada yang memerhatikannya. Namun, hanya kerana satu peristiwa, kasihnya pada laut sirna begitu sahaja.
“Juliezar.” Teguran suara garau menyedarkannya kealam nyata. Dia menoleh kearah pemilik suara itu.
“Saya ada urusan penting jam 3 petang ini. Saya nak minta tolong Ju menjadi wakil syarikat untuk projek petrol di Singapura itu boleh? Pengerusi syarikat akan turun.” Kata Alec, lelaki yang menyebabkan kakinya memijak bumi.
“Oh, boleh sahaja.” Balasnya pendek.
“Terima kasih. Nanti apa-apa yang Ju tak faham boleh tanya saya.” Alec
Menghembus nafas lega.
‘Mungkin ini masa yang sesuai.’ Bisik hati kecil Juliezar sambil tersenyum sendirian.
Sudah berpuluh tahun saat ini dinanti. Saat untuk melunaskan kepuasan hati.
Bagi Alec pula Juliezar merupakan gadis jelita yang sangat memegang amanah. Semakin mengenali gadis itu, hatinya semakin tertawan. Cuma menanti masa untuk meluahkan.
Hari yang dinanti tiba. Dia mengatur langkah ke bilik rahsia. Bilik yang menempatkan pelbagai dokumen penting syarikat. Akan dia pastikan binaan yang tersergam indah itu hancur ditangannya. Demi dendam yang terlumat. Dia harus pantas. Sudah tidak boleh membuang masa. Hanya tinggal seminggu sahaja lagi masa untuk dia terus berpijak di bumi.
            Jarum jam menunjukkan pukul 5.00 petang. Dia baru sahaja selesai berjumpa dengan Pengurus Syarikat Trollian Holding. Meski penat berkejar ke sana ke mari. Tapi dia puas. Ya, dia memang sengaja menggagalkan perjanjian dan persetujuan antara dua syarikat itu. Alasan hanya dia yang tahu. Dokumen rahsia ditangannya itu diconteng-conteng umpama kertas kosong yang tiada harga. Fikirannya menerawang teringat apabila kehidupan tenangnya dan keluarga kuda laut lain selama ini diganggu oleh kuasa kejam. Alam laut yang dulunya indah musnah termamah. Sejak itu dia mula mencari punca kebahagiaan mereka bertukar derita dan dia berasa amat kecewa setelah mendapati anak muda yang dijaja cintanya akan laut itu yang mengelola kuasa. Sejak itu, menggunakan keajaiban mutiara warisan nenek moyang kuda laut dia merencana rancangan untuk membalas dendam.
 “ Sikit lagi hari, dendam ini pasti terlerai.” Dia berkata sendiri sambil tangan tiada henti terus melakar entah gambar apa. Esok pasti ada keajaiban.
Dengan berbekalkan semangat dan keyakinan, Juliezar menyusun langkah cantik menuju ke pejabatnya.
“Ju, masuk bilik saya sekejap.” Alec mengarah bersama kerutan seribu di dahi umpama baru lepas dihempap batu besar. Tanpa membuang masa, Juliezar menukar arah langkahnya masuk ke pejabat pengurus syarikat.
“Ya, Alec?”
Wajah tenang Juliezar dipandang tidak puas hati. Masakan gadis itu boleh bersifat tenang walhal masalah yang sangat besar berkaitan syarikat mereka makin mengembang?
Ah, gadis cantik ini terlalu polos. Dia masih mentah dalam dunia perniagaan. Tapi mengapa dia memberikan sepenuh kepercayaan kepada gadis mentah ini untuk menguruskan hal perjanjian itu? Apa kejelitaan gadis yang tiada tandingnya itu sudah mula membelai jiwa?
“Alec..Alec” Merdu kedengaran suara yang cuba menyedarkan.
“Encik Alec”   Suara itu sedikit meninggi.
            “Ya, Juliezar. Ada apa-apa awak nak jelaskan pada saya ? Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Rasanya semua dah jelas. Dokumen sudah saya siapkan, dan tugas awak hanya menghantar dan berbincang balik apa yang telah kita bincangkan.” Terluah sudah apa yang mengganggu fikirannya sejak semalam.
            “Maafkan saya, tapi keputusan ini semua dari pihak mereka.”
            “Ya, saya tahu. Jika awak bentang sungguh-sungguh, alasan seperti ini takkan wujud. Kalau awak sayang status diri awak sekarang, awak akan berusaha untuk …..”
“Trett..Teteret..”Bunyi telefon bimbit mencantas kemarahan Alec.
            “Tidak mengapalah. Awak boleh keluar.”
Juliezar keluar dengan rasa lapang hati walaupun teruk dimarahi. Namun, semua itu tidak penting. Baginya, misi utama sekarang ini menjadikan hidup Alec resah. Gelisah. Ya, syarikat itu bakal ditutup. Pada hari pertemuannya dengan pengerusi syarikat Trollian Holding, Julizar telah membuka seribu rahsia. Dokumen rahsia itu hancur ditangannya.
            ‘Biarkan. Biar jiwa lelaki itu derita.’Hatinya masih berlagu dendam. Mutiara ditangannya diusap-usap. Dia tersenyum penuh makna. Dalam dia menyusun rancangan untuk menghancurkan bangunan indah itu, dia juga ada menggoda Alec dengan caranya tersendiri. Dia selalu ada ketika Alec dirundung masalah. Dia sering meluangkan waktu disaat Alec memerlukan seseorang disisi.
                        Alec masih runsing. Satu-satunya warisan dan peninggalan ayahnya itu
sepertinya tiada harapan lagi. Dia sendiri keliru mencari punca masalah. Sebelum ini, syarikat
itu juga pernah mengalami masalah. Akan tetapi, dia masih dapat membendungnya dengan arif
dan bijak. Entah mana datangnya hujan rebut ini sedangkan sebelum ini angina kecil pun tiada.
Juliezar. Ah! Nama gadis itu lagi. Hari-harinya hanya dipenuhi bayangan wajah anggun itu
yang sering terlayar di depan mata. Sejak pertama kali bersua muka, kasihnya mula tertumpah
pada gadis itu. Kasih yang telah lama hilang. Hilang bersama jasad ayahnya di tengah lautan.
Huh. Dia pantas menggeleng kepala, cuba membuang peristiwa itu jauh-jauh. Dia sudah tidak
mahu terkenang kenangan pahit itu.
                        “Ah ! kenapa aku teringatkan dia. Syarikat jauh lebih penting.”
“Tok..Tok..Tok..” Bunyi ketukan pintu mematikan lamunannya.
                        “Tuan Alec, ini ada surat dari Trollian Holding.”
Dengan wajah yang penuh tertanya-tanya, dia tetap menyambut huluran setiausahanya itu.
Surat itu dibuka dengan hati berdebar.
                        “Syahira, panggil Juliezar masuk ke bilik saya.” Interkom ditekan memberi arahan.
                        “Maafkan saya, tuan. Sejak pagi Juliezar tidak masuk kerja.”
Sejurus mendengar maklumat itu, Alec terus bangun keluar.
                        “Kenapa tiada yang maklumkan pada saya?” soalnya tidak puas hati.
Melihat setiausahanya yang hanya diam membatu, dia pantas meninggalkan bangunan itu untuk mencari Juliezar di rumahnya.
            Juliezar merenung dokumen itu lama. Entah mengapa tiba-tiba dia rasa bersalah terhadap Alec. “ Ah! Perasaan ini hanya menyesakkan fikiran sahaja”
Di luar rumahnya sayup-sayup kedengaran suara lelaki memanggilnya meminta keluar.
Ikutkan hati, dia mahu abaikan sahaja. Fikirannya menerawang peristiwa semalam.
Sedang dia asyik menggilap mutiara, dia tertidur. Dalam lenanya muncul moyang kuda laut yang seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu kepadanya. Tiba-tiba dia ternampak seorang tua yang menjadi dambaan seluruh warga laut dahulu. Wajahnya cemas di dalam sebuah bot yang karam. Disampingnya, ada lelaki kecil yang menjadi perhatiannya dahulu meraung meminta ayahnya diselamatkan. Namun, sepi. Tiada siapa yang mampir menghulurkan bantuan. Jelas raut kecewa di wajah lelaki itu. Hingga ke pagi ini dia masih terfikir-fikir itukah punca jiwa lelaki kecil itu terhadap laut semakin pudar? Dia yakin. Gambaran yang dia lihat itu bukan mimpi semata. Ada maksud disebalik mimpi itu. Gelora dendamnya mula bertukar simpati.
“Juliezar! Kenapa kau masih sembunyi di dalam? Tunjukkan dirimu.” Suara itu semakin kuat.
Dia pantas bangun dari duduk dan keluar untuk memuaskan hati pemilik suara itu. Ya, dia harus mendapatkan penjelasan. Bukan dirinya yang hanya menghukum makhluk yang tidak berdosa.
            “Mari. Saya ingin membawa kamu ke suatu tempat” Ujarnya tenang. Alec yang tadinya ingin marah mula terasa dipermainkan.
            “Permainan apa lagi yang kamu ingin lakukan ini Juliezar. Aku tidak menyangka, kau yang aku harapkan, kau yang aku pandang seorang yang sangat berdedikasi rupanya pembelot.”Juliezar hanya beriak tenang. Dibiarkan Alec melayan rasa amarahnya. Dia tahu dia sudah tersilap langkah. Dia akan menebus kembali kesilapannya itu. Dia akan menghidupkan semula jiwa laut lelaki yang sudah tertanam itu. Tiba di destinasi, Juliezar mula memandang lelaki disebelahnya itu.
            “Kenapa? Terfikir untuk mempermainkan perasaan saya pula selepas dah musnahkan hasil keringat ayah saya dahulu? Awak tahu tak itu satu-satunya usaha titik peluh ayah saya yang paling mahal. Beliau telah mengharungi pelbagai onak ranjau demi menghidupkan perniagaan itu. Tetapi, awak sekelip mata memusnahkannya. Apa yang awak mahukan sebenarnya? Sekarang, awak puas?” Sembur Alec dengan amarah yang masih berbisa. Namun panggilannya lebih sopan berbanding awal tadi.
            “Ya, awak betul. Mustapha telah melalui pelbagai cabaran sehingga mayatnya terkubur di dasar laut. Tetapi, syarikat petroleum yang dibinanya sekarang bukan untuk merosakkan alam laut. Dia seorang yang bijak. Walaupun cenderung dalam bidang itu, cintanya terhadap laut tidak dapat ditandingi. Sedaya upaya  dia cuba menyelamatkan apa yang dia rasa menjadi amanahnya.” Kelihatan Alec yang terdiam hanya menekur pasir di pantai itu, dia menyambung lagi.
            “Sekarang, cuba awak lihat hadapan awak. Dimana awak berpijak sekarang.” Alec pantas mengangkat muka. Di tengah lautan itu dia melihat seorang tua yang tersenyum sambil memerhatikan seorang anak kecil yang mengembalikan batu karang yang dijumpai ke dasar lautan. Mereka kelihatan sangat bahagia. Gembira dan rasa puas hati menguasai suasana itu ketika itu. Tiba-tiba muncul ombak yang sangat kuat memukul bot yang mereka naiki. Anak kecil itu terpukul hingga ke tepian laut. Namun sayang, lelaki tua masih ditengah lautan berusaha melawan ombak. Anak kecil itu menangis dan meraung sekuat hati meminta pertolongan dan dia mengharapkan sebuah keajaiban berlaku. Dia mengharapkan hidupan laut yang menerima jasa mereka selama ini ada yang dapat membantu memandangkan tiada seorang pun manusia di kawasan itu pada saat genting ini. Namun hampa. Lama dia menanti sehingga ombak mula menghilang. Pertolongan sebesar semut pun tiada yang datang. Lelaki kecil itu masih mencari bapanya mengharap dihanyutkan ke tepian pantai. Tidak boleh menerima hakikat bahawa dia hanya berseorangan pada waktu itu.
            Hatinya mula berasa kecewa terhadap alam laut. Dia mula rasakan yang mereka hanya menumpang tuah dan tidak mengenang budi. Sejak itu, dia sudah tidak mengambil tahu tentang keindahan laut malah dialah yang menjadi punca hidupan laut banyak mati akibat dari sisa-sisa petrol yang datang dari syarikatnya. Tangki sisa petrol di syarikat itu tidak pernah dia tutup dan sengaja dibiarkan.
            Percikan air menyentaknya dari lamunan. Hanya tuhan yang tahu alangkah terkejutnya Alec apabila gadis anggun yang disebelahnya tadi tiba-tiba sudah berada di dalam laut. Tapi bukan untuk mandi atau membasahkan diri. Gadis itu menyerupai seekor kuda laut yang pernah diselamatkannya suatu ketika dahulu.
            “Juliezar, awak..” Dia sudah tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Dia sendiri keliru dengan apa yang dilaluinya ketika ini.
“Ya, saya sebenarnya seekor kuda laut. Jika awak ingat, sayalah kuda laut yang pernah awak selamatkan dahulu.Maafkan saya kerana tidak muncul ketika awak memerlukan.”
“Jadi, awak sebenarnya menyamar menjadi makhluk bumi hanya untuk menyedarkan saya?”
“Tidak, saya ke bumi hanya untuk membalas dendam. Tapi, waktu itu saya tidak tahu situasi sebenar. Apa yang saya tahu ialah awak seorang pemusnah.”
“Baiklah, tugas saya sudah selesai. Awak jangan risau, masalah syarikat awak  akan kembali pulih seperti biasa. Kami alam laut rindukan kasih sayang lelaki laut. Pulangkanlah lelaki laut itu.” Usai menjelaskan segalanya, Juliezar pergi kembali ke alamnya.
Alec yang tadinya terpinga-pinga mulai sedar dan dia bertekad untuk menghidupkan semula lelaki laut yang telah lama mati.
            “ Saya akan kembali Juliezar..” Ujarnya penuh tekad sambil meninggalkan tempat itu.
Alam laut yang memerhati tersenyum senang. Derita akan pergi. Kebahagiaan bakal kembali.

No comments:

Post a Comment